Pada 22 Oktober lepas, pasukan UPLIFT sekali lagi turun padang bagi meneruskan misi mereka melalui kempen 1MillionDevices bagi menghubungkan semula kumpulan pelajar yang tercicir daripada arus pendidikan era pandemik Covid-19.
Kali ini, pasukan UPLIFT yang terdiri daripada tiga orang pelatih dari Brickfields Asia College (BAC), Lim Su Yie, Low Yen Hau dan Tarania Suresh mengendalikan pemberian unit peranti kepada tujuh orang pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pandamaran B, Klang.

Pendaftaran ringkas sebelum penyerahan tablet kepada penerima

Pandaftaran ringkas sebelum penyerahan tablet kepada penerima
Majlis penyerahan yang dibuat secara ringkas di hadapan sekolah tersebut menyaksikan kegembiraan dan tanda terima kasih yang terpampang melalui senyuman di bibir pelajar serta penjaga yang turut hadir menerima sumbangan berupa set tablet Samsung daripada pasukan UPLIFT.
Ketika ditanya, rata-rata penerima sumbangan berkenaan terpaksa berkongsi peranti bersama adik-beradik yang lain untuk mengikuti kelas dalam talian.
“Anak saya terpaksa berkongsi telefon dengan saya untuk mengikuti PDPR. Kalau saya keluar, agak susah untuk dia menjalani kelas,” kata ibu kepada salah seorang penerima Emylia Jackaria.
Ibu kepada dua orang anak itu turut memaklumkan mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan peranti kepada Amylia berikutan sumber pendapatan keluarga tersebut yang tidak tetap, terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diharungi sejak setahun lebih yang lepas.

Pua Jia Hui, pelajar darjah satu, berkongsi kegembiraan beliau
Salah seorang penerima, See Hui Li, 8, yang juga merupakan pelajar darjah 2, mempunyai latar belakang keluarga yang hampir sama dengan kesemua penerima pada kali ini.
Begitu juga dengan penerima yang lain, antara yang memerlukan sumbangan peranti sebegini apabila kerajaan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR), terdapat pelajar yang terpaksa berkongsi peranti hingga empat orang bagi satu peranti untuk menjalani kelas.
Justeru, usaha UPLIFT bagi memenuhi keperluan kumpulan penerima ini sedikit sebanyak mampu membantu kelancaran PDPR, seterusnya mampu mencegah keciciran yang berlaku dalam kalangan keluarga yang memerlukan, terutama dari golongan B40.
Secara keseluruhan, bukan sahaja kesemua penerima malah, penjaga yang turut hadir menemani penerima pada hari tersebut menunjukkan rasa kegembiraan mereka kerana mampu melihat anak-anak mereka meneruskan PDPR dengan lebih lancar dan sempurna.
Bagi meneruskan agenda membantu pelajar tercicir, orang ramai atau sesiapa sahaja dipelawa untuk sama-sama dalam menjayakan usaha UPLIFT menghentikan digital poverty, atau kemiskinan digital.
Untuk rekod, 1MillionDevices.my merupakan kempen yang digerakkan oleh UPLIFT untuk merapatkan jurang digital dalam pendidikan dengan melengkapkan setiap anak yang terpinggir di sekolah dengan peranti digital.
Kempen ini dibuat bukanlah atas isu keperluan teknologi, tetapi tentang hak pendididkan kepada kanak-kanak serta peluang yang adil dalam kehidupan mereka.
Anda boleh melayari https://1milliondevices.my untuk mengetahui perkembangan semasa berkenaan kempen dan cara untuk mengikuti usaha murni ini.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”