Empat beradik melakar kenangan manis apabila berkongsi pentas menerima ijazah sarjana muda sempena Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Pusat Aktiviti Kebudayaan, Kampus Gombak, Sabtu lalu.
Arif Ahmad Khairuddin, Afif, Yasmin dan Laili bukan sahaja mempunyai nama keluarga yang sama malah tarikh kuliah, major, minor dan tamat pengajian yang sama.
Empat beradik itu berjaya dalam pembelajaran mereka di UIAM dengan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris untuk Komunikasi Antarabangsa dengan minor dalam bahasa Jepun.
Memetik IIUMToday, selepas konvokesyen, adik-beradik itu berkongsi pengalaman mereka semasa belajar di ‘Taman Ilmu dan Kebajikan’.
“Bersama-sama belajar menjadikan ia lebih seronok dan selesa,” kata adik-beradik kembar Arif dan Afif.
Disebabkan keunikan mereka, adik-beradik itu mengambil peluang untuk mendaftar kursus sama, bagi memudahkan untuk menjalankan kerja berkumpulan dan menghadiri kelas.
Keempat-empat beradik itu mengatakan bahawa hubungan kekeluargaan mereka biasanya dirahsiakan.
“Pengajar kami biasanya tidak mengenali kami adik-beradik sehingga akhir semester,” tambah Yasmin, kakak kepada tiga beradik itu.
Manakala, anak bongsu daripada empat beradik itu, Laili berkata, dia memulakan perjalanan di UIAM pada usia 14 tahun selepas menamatkan peperiksaan O-levelnya.
“Saya bimbang untuk bersaing dengan adik-beradik yang lebih tua, tetapi saya juga ada mereka yang bersama saya untuk melalui perjalanan ini,” katanya.
Selain memperoleh perjalanan akademik sama, mereka juga menjalankan program pertukaran dan latihan bersama di Jepun sebelum wabak Covid-19.