Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menyerahkan sumbangan peribadi kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, hari ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Juruiring Tentera Darat Baginda, Brigadier Jeneral Datuk Sharizan Wan Chik dan turut dikongsikan di laman Facebook rasmi Istana Negara.
“Menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Juruiring Tentera Darat Baginda, menyampaikan sumbangan peribadi daripada Seri Paduka Baginda kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Kelab Sultan Sulaiman.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka,” menurut Istana Negara.
Semalam beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan penduduk yang terjejas terpaksa dipindahkan ke PPS berkenaan.