Pelajar berusia 17 tahun yang lantang berkenaan jenaka rogol, Ain Husniza Saiful Nizam dijemput untuk memberikan ucapan di United Nations Children’s Fund, Inspire Conference.
Dalam catatan di Facebook milik bapanya, remaja berkenaan dikatakan bakal menyertai wakil khas ketua setiausaha agung PBB, Dr Najat Maalla M’jid ke persidangan berkenaan untuk menjadi ahli panel.
Ain dijangka mengemukakan pandangan dan cadangan mengenai hak kanak-kanak di Malaysia, termasuk akses kepada pendidikan berkualiti, meningkatkan keselamatan di sekolah dan kesejahteraan mental.
Sebanyak tujuh wakil dari negara Asia Timur dan Pasifik telah dipilih, termasuk Thailand, Kemboja, Indonesia dan Malaysia.
Terdahulu, Ain HUsniza menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar selepas tindakannya mendedahkan perbuatan seorang guru yang didaka membuat jenaka di dalam kelas berkenaan rogol.
Ekoran insiden tersebut, beliau meneruskan kempen di laman-laman media sosial dengan tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace, yang turut menjadi perhatian rakyat di negara ini.
Persidangan tersebut dijangka akan berlangsung melalui aplikasi Zoom dan akan dikongsi secara langsung di Facebook.
INSPIRE telah dilancarkan dengan kerjasama Global Partnership to End Violence Against Children pada 2016. Ia telah menetapkan tujuh strategi untuk sesebuah negara dan NGO meneruskan usaha bagi menghapuskan keganasan terhadap kanak-kanak.
Tujuh strategi tersebut ialah: Pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang; Norma dan nilai; Persekitaran yang selamat; Sokongan ibu bapa dan penjaga; Pengukuhan pendapatan dan ekonomi; Perkhidmatan maklum balas dan sokongan; dan Pendidikan dan kemahiran hidup.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”