Kumpulan kanak-kanak di sebuah perkampungan Orang Asli di Hulu Selangor kini boleh mendapatkan satu anjakan baharu pendidikan dalam komuniti mereka selepas Brickfields Asia College (BAC) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Wilayah membangunkan sebuah tadika di Kampung Orang Asli Serigala.
Setiausaha Pertubuhan Bangkit (Uplift), Dr Selvamalar Ayadurai yang juga lebih mesra dikenali sebagai Dr. Malar berkata, projek tadika itu selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan pendidikan berkualiti untuk semua orang.
“Tadika untuk kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun ini adalah projek perintis kami dan kami menubuhkannya dengan kerjasama Persatuan SUKA. BAC dan MMA Wilayah membiayai keseluruhan projek berdasarkan geran padanan,” katanya.
Beliau terus menjelaskan bahawa tadika itu ditubuhkan dengan RM5,000, manakala RM1,400 diperlukan setiap bulan untuk operasinya yang menambah sehingga RM21,800 setahun.
Sebanyak 48 keluarga daripada suku kaum Semai dan Temuan menetap di kampung itu termasuk 20 kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun.
“Sepuluh daripada kanak-kanak ini sudah pun bersekolah tadika di tempat lain, manakala 10 lagi telah memulakan kelas dengan kami. Kami akan menyerahkan kepada ibu bapa untuk memutuskan sama ada mereka mahu anak mereka menyertai kelas kami pada masa hadapan,” kata Dr Malar.
Kebanyakan wanita di kampung itu adalah penoreh getah, manakala lelaki bekerja sebagai pemotong rumput, pekerja sambilan dan pengawal keselamatan.
“Kami bukan hanya mahu berhenti dengan projek tadika, tetapi juga mahu melihat lebih jauh. Memandangkan ramai kanak-kanak di kampung itu berprestasi rendah di sekolah, kami ingin membantu pelajar Darjah 1-6 juga dalam pelajaran mereka,” katanya.
Dr. Malar juga berkata bahawa BAC sedang mengkaji untuk membentuk empat kumpulan sukarelawan pensyarah, yang akan pergi ke kampung setiap Sabtu pertama setiap bulan untuk membantu kanak-kanak Orang Asli di sana.
“Pasukan itu boleh membantu mereka membuat kerja rumah dan juga membimbing mereka dalam pelajaran,” katanya.