Tindakan anggota polis yang berhenti untuk menghulurkan bantuan kepada seorang warga emas yang menolak motornya di tepi jalan, mendapat pujian daripada ramai pihak.
Dalam kejadian di Petaling Jaya baru-baru ini, empat anggota tersebut menolong warga emas berkenaan yang kehabisan minyak petrol pada motornya, menyebabkan beliau terpaksa menolak kenderaan berkenaan ke tepi jalan.
Menurut Konstabel Fahrid Mojuning, 28, dia dan tiga yang lain merasa kasihan terhadap lelaki tua itu dan berhenti untuk memberikan bantuan.
Tiga anggota polis yang lain adalah Lans Koperal Saiful Nizam Mohamad dan Muhammad Hazwan Zainal, dan Koperal Hafizzudin Roslim.
Menurut Farid, kira-kira jam 5 petang, Unit Ronda Bermotorsikal (URB) dari Balai Polis Sea Park sedang membuat rondaan di sepanjang Jalan Harapan sebelum bertemu dengan lelaki berkenaan.
“Ketika sedang meronda, kami terserempak dengan seorang warga emas yang menolak motosikal sebelum menghampirinya.
“Pakcik itu memaklumkan bahawa minyak motosikalnya sudah habis menyebabkan dia menolak kenderaan itu untuk ke stesen minyak berhampiran,” katanya.
Menurutnya, seorang rakan kemudian mencadangkan untuk mengambil sedikit petrol di motosikalnya untuk diberikan kepada lelaki berkenaan.
“Rakan memaklumkan dia ada membawa hos untuk sistem penyejuk enjin (motosikal) yang kemudian digunakan untuk menyedut petrol dari tangki motosikal bagi dipindahkan ke dalam botol minuman kosong.
“Minyak berkenaan kemudian diisi dalam tangki minyak motosikal pakcik berkenaan. Kami memastikan enjin motosikalnya dapat dihidupkan sebelum kami meneruskan rondaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tindakan empat anggota berkenaan adalah sikap yang terpuji dan patut dijadikan sebagai contoh.
“Ini mencerminkan kami sebagai agensi penguat kuasa yang menjalankan penugasan juga turut mempunyai empati dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan tinggi.
“Sikap seumpama ini diharapkan dapat melahirkan rasa selamat dan mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada pihak berkuasa khususnya kepada polis Daerah Petaling Jaya,” katanya.