Peniaga bazar Ramadan di lorong Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur kini boleh menarik nafas lega selepas dibenarkan beroperasi pada bermula 17 April akan datang.
Bazar tersebut yang juga merupakan antara tumpuan utama bagi peniaga dan penghuni kota termasuk yang datang daripada luar Kuala Lumpur untuk berniaga dan mendapatkan barang keperluan untuk sambutan Aidilfitri sebelum ini gelisah dengan penutupannya tahun lepas akibat Covid-19.
Berita gembira tersebut disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapandi Twitternya hari ini.
Menurut Annuar, kebenaran operasi itu selepas mengambil kira rayuan peniaga bazar berkenaan.
Malah Annuar memaklumkan bazar di Lorong TAR itu juga akan ‘dihidupkan’ semula.
“Demi memenuhi rayuan peniaga Bazar Aidilfitri, kita bersetuju bukan saja benarkan bazar dibuka tapi kita hidupkan semula bazar di tapak asal di lorong TAR,” katanya.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini memutuskan bazar Ramadan dibenarkan beroperasi tahun ini.
Annuar berkata, kebenaran operasi di Lorong TAR itu akan disusuli dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Pastinya berita gembira itu dapat memgembalikan kenangan kemeriahan orang ramai membeli belah untuk persiapan raya sebelum ini.