Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengimbau kembali detik ketika dibesarkan di rumah kelahirannya yang terletak di Lorong Kilang Ais, Alor Setar, Kedah.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, Tun Dr Mahathir, 96, berkata di rumah itulah beliau dibesarkan sehingga berkahwin dengan isterinya, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali, 95.
“Di sinilah rumah kelahiran saya, tempat dibesar, diasuh oleh emak dan bapak hinggalah berkahwin dengan Hasmah.

“Suasananya berbeza apabila kembali ke sini bila ramai sudah tiada. Yang ada cuma kenangan.
“Rumah ini amat kecil berbanding dengan besarnya di waktu saya kecil,” katanya dalam hantaran tersebut.
Rumah kelahiran ‘Bapa Pemodenan Malaysia’ itu telah dibaik pulih atas cadangan Lembaga Muzium Negeri Kedah.
Pihak Arkib Negara dipertanggungjawabkan untuk mengambil alih dan memelihara rumah tersebut di bawah projek Arkib Perdana Menteri.

Pihak Lembaga Muzium Negeri Kedah telah mendapat kebenaran bertulis daripada Dr Mahathir dan saudara-maranya melalui surat bertarikh 29 Jun 1990 untuk dibaik pulih bagi maksud pemuliharaan.
Usaha memulihara dan memperbaiki rumah itu adalah untuk menyelamatkan tempat yang mempunyai nilai sejarah ini daripada lupus.