Seorang gadis berusia lima tahun teruja setelah menerima surat balasan dari Ratu Elizabeth II berkenaan suratnya yang dikirim kepada Ratu United Kingdom itu setelah kematian Putera Philip.
Erin Bywater, dari Scunthorpe, menyatakan hasratnya bahawa dia akan menyimpan surat itu dan mahu menunjukkannya kepada rakan-rakannya di sekolah, seperti dilapor Grimsby Live.
Ketika mendapat khabar tentang kematian keluarga diraja berkenaan, Putera Philips, Erin mengutus surat kepada Ratu Elizabeth II agar dapat mengurangkan kesedihan Ratu berkenaan.
Melalui surat itu, Erin berkongsi kesedihannya dengan keluarga kerabat diraja berkenaan agar semuanya menjadi lebih baik dan mampu mengurangkan kesedihan yang dialami.
Sangat mengejutkan buat keluarga Erin, apabila surat yang dihantar oleh kanak-kanak lima tahun itu, dibalas oleh Ratu Elizabeth II, daripada Istana Buckingham.
“Surat itu sangat mengejutkan,” kata ibu Erin, Nicola.
“Dia baru saja mulai bertanya tentang siapa Ratu dan apa yang dia lakukan sehari sebelum Putera Philip meninggal, yang cukup merisaukan. Kami menghantarnya (surat) dan tidak mengharapkan apa-apa untuk dibalas,” tambah Nicola.
“Kemudian pada hari Sabtu kami mendapat surat yang ditujukan kepadanya dari Istana yang membuatnya melompat-lompat dengan gembira.
“Saya tidak percaya bahawa mereka menjawabnya dan mereka melakukannya dengan cepat, meskipun mereka mesti dibanjiri dengan surat pada masa ini.
“Dia ingin memberitahu semua orang yang dia kenal, termasuk semua guru dan rakannya. Sebaik sahaja dia membawanya ke sekolah, kami akan meletakkannya di tempat yang selamat di mana ia dapat dijadikan harta bernilai,” jelasnya lagi.
Dalam surat yang yang dibalas kepada Erin, Ratu Elizabeth mengucapkan terima kasih kepada kanak-kanak tersebut kerana menzahirkan rasa simpatinya terhadap kematian Putera Philips.
“Saya mengucapkan terima kasih yang tulus atas ucapan simpati anda atas kematian suami saya. Elizabeth R.”