Lima peniaga yang gerai hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran bulan lalu, kini sudah boleh kembali mengukir senyuman.
Ini kerana kesemua gerai yang musnah di kawasan perniagaan Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru itu telah berjaya dibina semula dalam tempoh kurang sebulan setelah kejadian tersebut.
Pembinaan semula gerai berkenaan telah dibiayai sepenuhnya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Berita gembira itu dikongsi di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, majlis penyerahan kunci gerai itu telah disempurnakan Tengku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim sebagai wakil rasmi Sultan Johor, hari ini.
Menurut hantaran tersebut, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan perkakas elektrik kepada tiga peniaga yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan.
“Perkakas elektrik tersebut merangkumi peti sejuk, dapur gas dan dua tong gas,” katanya.
Gerai-gerai baharu yang dibina semula itu bukan sahaja selesa malah turut dilengkapi tandas serta sistem pendawaian elektrik bersama lampu dan kipas.
“Sambutan Aidilfitri pada tahun ini pastinya mencatatkan satu lembaran sejarah yang tidak dapat dilupakan oleh lima peniaga di kawasan perniagaan Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru.
“Jika pendapatan mereka sebelum ini terjejas selepas gerai-gerai disewa musnah dalam kebarakan pada kejadian akhir Mac lalu, kini peniaga terbabit dapat meneruskan semula perniagaan mereka,” kata hantaran itu.

27 Mac lalu, Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat kawasan kejadian kebakaran tersebut dan sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu peniaga yang terjejas.
Sultan Johor turut berkenan membiayai semula kos pembinaan menerusi YSIJ dengan baginda sendiri mereka bentuk gerai terbabit.
Kebakaran itu telah memusnahkan tiga kedai makan, dan masing-masing sebuah kedai menjual peralatan tulis serta kedai basikal.