Kejayaan seorang pelajar, bergantung juga pada guru di belakangnya yang menjadi tunjang utama. Tanpa bimbingan daripada guru, seorang pelajar boleh ‘hanyut’ ketika sedang berada dalam pelayarannya mencari ilmu.
Baru-baru ini, seorang guru menarik perhatian di kalangan netizen, dan video berkenaan cara beliau mengajar menjadi tular di laman-laman media sosial.
Cikgu Buvanesan, melalui video yang dimuat naik menerusi aplikasi Tiktok menunjukkan beliau mengajar bahasa Tamil kepada anak muridnya yang berbangsa Melayu.
Melalui video berdurasi 59 saat itu, Buvanesan dilihat memanggil salah seorang pelajarnya dan bertanya kepadanya jika beliau berminat untuk belajar bahasa Tamil.
Sejurus kemudian, Buvanesan mengajarkan beberapa potongan ayat daripada bahasa Tamil seperti selamat pagi, selamat pagi dan saya sayang kamu.
Melihat potensi muridnya yang cepat belajar dan menyebut setiap perkataan dengan betul, Buvanesan memuji gadis itu.
Sementara itu, tinjauan di bahagian komen mendapati bahawa usaha Buvanesan telah menarik minat ramai orang, terutama dari kalangan pengguna Tiktok berbangsa Melayu.
Setakat ini, video tersebut telah mendapat reaksi 94.7k butang suka, 3688 komen dan 2683 perkongsian.