Komen yang dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada lukisan kartun berkenaan kebenaran rentas negeri yang dimuat naik di laman sosial, menarik perhatian warga maya.
Grafik yang dihasilkan oleh Galeri Sentuhan ArifSan tersebut mendapat perhatian Hishammuddin yang memaparkan watak beliau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang membuat ‘acara pelepasan’ rentas negeri.
“Itu saya ke?,” tulis Hishammuddin di ruangan komen.
Pelbagai reaksi diberikan oleh pengguna Facebook ekoran hantaran komen tersebut, antaranya ada yang memuji Hishammuddin yang dikatakan mesra dan ‘sporting’.
Dalam ruangan komen itu juga, Hishammuddin mengingatkan orang ramai yang telah lengkap menerima vaksinasi melakukan ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman.
Katanya, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP), orang ramai mesti mengukuhkan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan ‘TRIIS’- Test (ujian), Report (lapor), Isolate (isolasi), Inform (maklum), Seek (cari).
“Sebarkan tentang TRIIS kepada ahli keluarga, sahabat dan seramai mungkin kenalan supaya ia menjadi rutin kendiri,” katanya.
Semalam, pergerakan rentas negeri diseluruh negara telah dibenarkan setelah peratusan vaksinasi penduduk dewasa mencapai sasaran 90 peratus.
Perdana Menteri mengumumkan Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan merentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”