Selebriti popular, Janna Nick menjelaskan niatnya berkongsi mengenai penyakit yang dihidapinya bertujuan untuk menyebarkan tentang bantuan-bantuan yang tersedia berkaitan kesihatan mental.
Nurul Jannah Munir, menasihati mana-mana individu supaya tidak menyalahkan diri sendiri sekiranya didiagnos sebagai pesakit mental.
“Sayangi dan berhenti menyalahkan diri sendiri. Cukuplah.
“Sebagai seorang yang telah menjalani rawatan psikiatri dan sedang mengambil ubat yang dipreskripsi oleh doktor, saya berkongsi secara terbuka supaya orang ramai lebih sedar bahawa ada bantuan yang tersedia,” katanya dalam hantaran Instagram.
View this post on Instagram
Bekas pengacara Melodi itu turut berharap penyakit berkaitan masalah kesihatan mental dirawat sama seperti penyakit lain.
“Saya berharap suatu hari nanti, kesihatan dan penyakit mental akan dirawat dengan cara yang sama seperti kesihatan fizikal.
“Cabaran yang kita hadapi adalah sebahagian daripada pengalaman sebagai manusia yang semakin dewasa. Harap cerita saya dapat memberi inspirasi kepada orang yang sedang berjuang,” katanya.
Sebelum ini, Janna mendedahkan dia mengalami masalah gangguan bipolar (bipolar disorder) selain mengaku pernah membuat cubaan bunuh diri ketika berusia 14 dan 15 tahun.
Menerusi satu hantaran di Instagram April lalu, Janna berkata, dia kini bergantung pada ubat anti kemurungan.
“Secara klinikal, saya disahkan menghidap bipolar disorder. Kini, saya perlu masa menghindari media sosial untuk fokus kepada diri sendiri.
“Sejak seminggu lalu (dan mungkin berterusan), saya perlu mengambil ubat anti kemurungan,” jelasnya.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”