Tidak tahan dengan krisis perumahan yang melanda Oakland, California, sekumpulan gelendangan bersama dengan aktivis daripada beberapa gerakan komuniti mengambil keputusan untuk membina penempatan khas untuk gelendangan di bandar tersebut.
Lokasi penempatan tersebut yang dibina di bawah jejambat mempunyai kelengkapan asas sebuah rumah dan kampung dengan mempunyai ketuhar, tempat mandi serta klinik kesihatan untuk kegunaan komunitit berkenaan.
Penempatan yang diberi nama Cob on Wood itu dibina beberapa bulan lepas di sepanjang Wood Street sebagai penempatan dan tempat tinggal baharu golongan gelendangan berkenaan.

Ketuhar pizza yang terdapat di Cob on Wood. Foto: Gabrielle Canon/The Guardian
Di Oakland, ketika krisis wabak Covid-19 yang melanda seluruh pelusuk dunia ini, mengakibatkan ramai orang yang terpaksa menjadi gelendangan akibat hilang mata pencarian kerana kemerosotan ekonomi.
Justeru, Cob on Wood juga menjadi salah satu penenpatan yang menjadi lokasi mereka untuk berteduh dan meneruskan kehidupan.
Selain kelengkapan asas yang disebut di atas, Cob on Wood juga turut memberi kemudahan seperti kelas masakan dan nutrisi, latihan sektor pembinaan, serta lahitan pembangunan kerjaya untuk meningkatkan kemahiran golongan tersebut.

Pondok yang boleh diduduki untuk jangka masa panjang yang diperbuat dari bahan terbuang. Foto: Gabrielle Canon/The Guardian
Malah, bagi golongan yang tidak mempunyai rumah atau terpaksa tinggal dalam kenderaan selepas hilang tempat tinggal, Cob on Wood juga menyediakan kemudahan tempat tinggal untuk kumpulan ini.
Pondok kecil beserta kelengkapan seperti dapur, sinki, tempat menyimpan makanan serta peti sejuk yang dipenuhi makanan disediakan untuk mereka.

Elliott, pakar dalam pembinaan cara lama yang membangunkan struktur di Cob on Wood. Foto: Gabrielle Canon/The Guardian
Selain itu, tempat mandi dan kemudahan tandas juga turut disediakan kepada mereka. Malah, pusat penempatan berkenaan juga menyediakan pakaian percuma kepada penghuninya hasil daripada derma orang ramai kepada pusat penempatan berkenaan.
“Saya tidak pernah menyangka akan tinggal di tempat seperti ini dan inilah rumah baharu saya kerana saya sudah tidak ada arah lagi untuk dituju,” kata Oliver yang juga merupakan salah seorang penghuni Con on Wood.
“Kami mungkin gelendangan tetapi kami juga merupakan manusia yang sama seperti anda di luar sana,” tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi penghuni, Lydia, memberitahu kepada akhbar Guardian, beliau terpaksa berpindah ke penempatan berkenaan kerana van yang menjadi tempat berteduhnya selama ini sudah ditarik oleh pihak bank kerana tidak dapat membayar tunggakan hutang kenderaan berkenaan.
“Van saya ditarik beberapa tahun lalu. Polis memberitahu saya mengenai lokasi ini,” katanya.
Pengasas Cob on Wood, Leah Van Winkle berkata, kawasan itu dianggarkan boleh dimanfaat sekitar 150 hingga 300 orang.
Katanya, susulan permintaan penduduk pada Disember lalu, mereka membina pusat itu dengan kerjasama beberapa kumpulan komuniti seperti Living Earth Structures, Essential Food and Medicine (EFAM) dan Artists Building Communities.
“Pada masa sama, kami mendekati lebih ramai penduduk dan bekerjasama dengan mereka supaya menghentikan tindakan pengusiran keluar,” katanya.