Mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam membuat ketetapan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembaili stabil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia antara usaha bagi menangani isu bekalan serta harga ayam pada masa ini.
Selain itu katanya, kerajaan bersetuju mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAF) dan agensi.
Turut dipersetujui, memansuhkan Permit Import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan
“(Selain itu) Mempermudah proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam serta menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.
Susulan itu tegasnya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara itu dan siasatan dijangka selesai pada Jun ini.
“Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
“Pada masa sama, kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.
“Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad memerangi orang tengah yang saya perkenalkan pada tahun 2014.
“Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini,” katanya lagi.
Perdana Menteri menambah, mesyuarat Kabinet juga menerima beberapa pandangan daripada Ahli Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung, untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam.
Mesyuarat juga katanya, bersetuju meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang.
“MAFI dan KPDNHEP telah diminta membentangkan pelan-pelan tersebut dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung dan sebagainya.
“Kerajaan turut menggalakkan GLC, agensi kerajaan, Pertubuhan Peladang dan koperasi untuk turut terlibat dalam penternakan ayam.
Kerajaan akan mengkaji dari segi bantuan kepada mereka yang terlibat. Ini merupakan sebahagian pelan Jangka Sederhana dan Jangka Panjang yang akan dirangka oleh MAFI dan KPDNHEP,” katanya.
Menurutnya lagi, Peguam Negara juga dipanggil pada Mesyuarat Kabinet hari ini dan telah menasihatkan Kabinet untuk mengguna pakai di bawah Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam.
“Tindakan boleh diambil di bawah Akta tersebut dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta-merta,” katanya.