Hanya dengan usaha dan kerja keras, impian mampu diubah menjadi kenyataan.
Demikian impian seorang wanita yang mahu menjadi guru, akhirnya menjadi kenyataan berkat dari usahanya yang berterusan tanpa kenal erti lelah.
Wanda Smith, ibu kepada tiga orang anak ini yang turut menjaga ibunya, menjalani kehidupan penuh cabaran apabila bekerja sebagai pengawal bas dan dalam masa yang sama juga beliau bertugas sebagai pengawal di Brenham Independent School District di Texas.
Pun begitu, beliau yang menghabiskan masa selama berjam-jam untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengawal, beliau tidak pernah berputus asa untuk mengikuti dan menghabiskan pengajiannya.
Selepas sembilan tahun, Wanda, 37 tahun, akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya dan lulus cemerlang untuk mendapat ijazah sarjana muda dari Sam Houston State University seterusnya menjadi guru.
Sejurus bergraduan, Wanda diterima sebagai guru kelas satu di sebuah sekolah di Brenham, meskipun ibunya tidak sempat menyaksikan kejayaan Wanda kerana meninggal dunia.
“Ketika saya berdiri di depan kelas saya, saya menikmati impian saya,” kata Wanda semasa sambutan Hari Penghargaan Guru sempena Hari Guru.
Semasa pandemik Covid-19 yang tengah meledak kini, Wanda bersama pelajarnya terpaksa akur untuk mengadakan sesi pembelajaran secara jarak jauh.
Sebagai penghargaan tinggi kepada Wanda, Datuk Bandar Brenham, Milton Tate Jr mengisytiharkan 4 Mei 2021 sebagai Hari Wanda Smith di kota tersebut.