Pernahkah anda terfikir untuk menjadi sukarelawan dan bekerjasama dengan salah seorang daripada tiga doktor terbaik di dunia mengendalikan pandemic Covid-19?
Ya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menawarkan penglibatan masyarakat untuk berbakti sebagai sukarelawan kesihatan dalam menangani pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang pernah dinamakan sebagai tiga doktor terbaik Covid-19 oleh Tv China berkata, tenaga sukarelawan diperlukan bagi meringankan beban yang dipikul petugas-petugas kesihatan di seluruh negara.
“Kepada mereka yang ingin berbakti sebagai sukarelawan, sila lengkapkan borang di pautan berikut: https://forms.gle/ktiuH2mjRePBCZLm9.
“Sebarang pertanyaan lanjut, sila e-mel kepada mobilisasi19@gmail.com,” katanya melalui siaran di Facebook hari ini.
Sebanyak tujuh jawatan dibuka kepada sukarelawan kesihatan seperti Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran serta Juruteknologi Makmal Perubatan.
Pada Rabu, Malaysia terus mencatatkan peningkatan 7,478 kes baharu dengan 63 kes kematian akibat wabak Covid-19 menjadikan kes harian serta kematian yang tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik itu melanda negara Mac tahun lalu.