Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin meminta semua pihak berdoa agar sesi pengajaran dan pembelajaran anak-anak dipermudahkan dalam berdepan wabak Covid-19 yang masih belum berakhir lagi.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berusaha mengikhtiarkan yang terbaik demi masa depan anak-anak generasi pewaris negara.
Beliau berharap tiada pihak yang menimbulkan sebarang prasangka dengan membuat pelbagai tohmahan termasuk terhadap dirinya.
“Menimbulkan prasangka itu mudah bila fakta tidak diendah.
“Saya mohon sahabat semua terus mendoakan agar dipermudahkan urusan kami di KPM untuk mengikhtiarkan yang terbaikdemi masa depan anak-anak generasi pewaris negara,” luahnya dalam satu hantaran di Facebook.
Radzi turut berkongsi satu tangkap layar tomahan yang dilemparkan terhadapnya yang menggambarkan beliau seolah-olah tidak melakukan apa-apa berhubung isu pendidikan.
Berdasarkan tangkap layar terbabit, beliau dikatakan telah lama menghilangkan diri dan menurut individu terbabit ramai ibu bapa yang bertanya mengenai tindakan persekolahan anak-anak.
“Ada yang hantar tangkap layar ini kepada saya. Kemudian saya dimaklumkan hantaran tersebut telah diedit dan akhirnya dipadamkan.
“Mungkin penulis telah sedar akan kesilapan di dalam penulisan beliau. Saya doakan yang terbaik kepada penulis. Semoga perkara sebegini menjadi pedoman kepada kita,” katanya.