Kementerian Alam Sekitar dan Air mengesahkan, negara mengutip sisa elektronik atau e-waste yang dikitar semula sepanajng tahun ini sebanyak 432 tan, daripada 800 tan yang disasarkan untuk sepanjang tahun ini.
Pencapaian tersebut diumumkan oleh menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berucap pada sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2021, hari ini.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, setakat bulan lalu, kita telah pun berjaya mengumpul sebanyak 432 tan e-waste daripada sasaran 800 tan untuk sepanjang tahun ini,” katanya.
Pengumpulan e-waste tahun ini melibatkan 178 pusat kutipan dan 21 fasiliti pemulihan di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan negeri paling banyak di negara ini iaitu 58 premis yang disediakan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pencapaian kutipan itu sebagai amat membanggakan walaupun aktiviti tersebut dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya mengikuti perkembangan program ini di beberapa negeri melalui wadah media sosial dan bersyukur sambutan sangat menggalakkan dalam kalangan komuniti setempat.
“Rancangan Malaysia Ke-12 malah beri kepercayaan kepada kementerian bagi menjayakan agenda pertumbuhan hijau, transformasi sektor air dan urus tadbir alam sekitar,” tambahnya.
Kementerian juga menurutnya akan memberi tumpuan kepad pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bagi memacu pendekatan ekonomi hijau sejajar misi usaha pembangunan rendah karbon.
Menyentuh Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Scotland mulai 31 Oktober ini, Malaysia bakal memuktamadkan pelbagai rundingan yang tertunggak sejak 2018.
“Bagi sektor plastik, kita akan mengaplikasi konsep ekonomi kitaran semula daripada linear sebelum ini secara sukarela sebelum dijadikan skim mandatory pada 2030 kelak,” tegasnya.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”