Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini berbincang mengenai perkembangan semasa penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dan pengadil profesional.
Perbincangan itu berlangsung di tengah-tengah isu melibatkan pengadil dalam saingan Liga Super hangat diperkatakan ketika ini.
Perbincangan itu dihadiri Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram bersama Pengarah Pengadil AFC, Shamsul Maidin di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Menurut FAM menerusi perkongsian di Facebook, dalam sesi tersebut, Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM diberi penerangan terperinci mengenai perkembangan semasa penggunaan VAR dan pengadil profesional di liga-liga domestik di seluruh dunia.
Turut hadir, Ketua Unit Pengadil FAM, Kassim Kadir Bacha dan Pengurus Projek AFC, Chang Seok Rhee.
Terdahulu hari ini, FAM memaklumkan telah membuat tindakan awal berhubung beberapa insiden membabitkan pengadil sepanjang aksi ketiga Liga Super pada Selasa, Rabu lalu.
Menurut Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman, laporan Penilai Pengadil menyatakan terdapat kesalahan dilakukan pengadil beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan pasukan
Sri Pahang FC ketika aksi menentang Kedah di Alor Star.
Biarpun tidak menerima sebarang surat aduan daripada Sri Pahang FC, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video dan mendapati terdapat kesalahan dilakukan pegawai perlawanan.
Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan tersebut.
Abang Zulkarnain turut memberitahu, FAM menerima surat aduan daripada Selangor FC pada Rabu lalu berhubung insiden kad merah melibatkan pemain importnya.
Manakala laporan Penilai Pengadil menyatakan tiada kesalahan dilakukan pengadil dalam melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC, Kenny Pallraj ketika aksi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).