Bagi mempercepatkan dan mencapai sasaran yang ditetapkan dalam program vaksinasi negara, Malaysia bakal menerima 1,333,800 lagi dos vaksin jenis Pfizer minggu ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 444,600 dos akan diagihkan pada 16 hingga 18 Jun manakala 444,600 dos akan diagihkan pada 23 hingga 25 Jun dan 444,600 dos lagi akan diagihkan pada 30 Jun hingga 2 Julai.
Setakat ini, menurut Khairy, sebanyak 5,955,092 dos vaksin sudah diedarkan ke seluruh negara iaitu 1,674,142 dos Sinovac, Pfizer (3,632,850 dos) dan AstraZeneca (648,100 dos).
“Lima negeri tertinggi dalam pengedaran vaksin adalah Kuala Lumpur dan Putrajaya diikuti Selangor, Sarawak, Johor dan Sabah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut Khairy lagi, bilangan rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas yang sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin adalah seramai 13,789,736 bersamaan dengan 58.9 peratus.
Sementara itu, tambahnya, sebanyak 4,774,418 janji temu telah diberikan kepada permohon setakat ini.