Malaysia dan China hari ini memeterai perjanjian bagi membangunkan vaksin Covid-19 yang selamat serta berkesan menangani pandemik tersebut.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Menteri Sains , Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya dari China, Wang Zhigang dalam satu majlis yang diadakan secara dalam talian.
Perjanjian terbabit akan beroperasi di bawah pemantauan Jawatankuasa Tinggi, dipengerusikan bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta rakan sejawatnya dari China, Wang Yi.
Kementerian Luar dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata, perjanjian itu yang dimeterai pada 13 Oktober lalu turut mempromosikan kerjasama yang serius dalam menangani pandemik.
“Kerjasama ini sudah dipersetujui pada 13 Oktober lalu, bagi mempromosikan kerjasama pragmatik dan pendekatan lebih serius dalam menangani cabaran pasca pandemik.
“Perjanjian ini membolehkan Malaysia mendapat keutamaan memperoleh bekalan vaksin COVID-19 yang dibangunkan China, perkongsian ilmu dan kepakaran, selain kemudahan saintifik serta keupayaan teknologi.
“Ia bagi membolehkan pembangunan vaksin dilakukan dengan lebih canggih dan maju di kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua negara juga akan saling menyokong penyertaan sektor awam dan swasta, termasuk universiti, institusi, persatuan serta pertubuhan dalam kerjasama yang dimeterai tersebut.