Kerajaan negeri Melaka menandatangani perjanjian usahasama pembangunan semula terminal pengangkutan bersepadu di bandar Peringgit dengan kos pembinaan RM3.5 bilion.
Pembangunan projek di tapak terminal sedia ada itu dimeterai antara anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka iaitu Melaka Sentral dengan syarikat pelabur dan pemaju, Goodyield Development Sdn. Bhd. (GDSB), pada 30 September lepas, disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Sulaiman berkata, Melaka Sentral yang baharu itu bakal menjadi pemangkin agenda pembangunan ekonomi negeri dan hab pengangkutan termoden di negara ini.
Projek di atas tapak seluas 18 ekar itu bakal menempatkan lima bangunan terminal utama, pusat beli belah, lot komersial di setiap sektor, masjid, hotel, hab monorel, pusat penganjuran acara, pejabat, klinik, pawagam dan pusat hiburan.
Sulaiman berkata, perjanjian pembinaan terminal ikonik itu akan dilaksanakan melalui Inisiatif Pembiayaian Swasta (PFI).

Lakaran artis Melaka Sentral yang bakal dibangunkan di Peringgit.
“GDSB sedia menawarkan penyelesaian hutang pinjaman bank MSSB daripada bahagian untung tetap kepada MSSB untuk setiap sektor pembinaan.
“Secara keseluruhan jumlah manfaat kewangan diterima MSSB apabila siap projek pembangunan semula Melaka Sentral ini dianggarkan RM466 juta,” ujar beliau.
Tambahnya, jumlah itu tidak termasuk pendapatan tahunan berbentuk ‘recurring income’ (pendapatan berulang) dari perkongsian hasil sewaan dan pengurusan petak letak kereta yang dianggarkan berjumlah RM1.5 juta hingga RM2 juta setahun,” katanya.
Sulaiman berkata, pembangunan Melaka Sentral akan dilaksanakan melalui lima sektor pembinaan secara berperingkat-peringkat yang dijangka bermula pada Jun 2022 dan disiap sepenuhnya pada tahun 2029.
“Bagi sektor pertama, projek ini merangkumi pembangunan bangunan terminal utama untuk ketibaan dan pelepasan, blok kondomium, hotel, 18 buah pawagam dan lot komersial yang dijangka siap pada 2024.
“Sektor kedua melibatkan terminal ekspres wilayah selatan, satu block kondominium, zon hiburan dan ruang komersial yang akan disiapkan pada Jun 2025.
“Sektor ketiga pula adalah terminal ekspres wilayah tengah, dua blok kondominium dan lot komersial yang siap pada Disember 2026.
“Sektor keempat terminal ekspres wilayah utara, satu blok kondominium dan ruang komersial yang akan siap pada 2028 dan terakhir terminal ekspres bagi wilayah timur, sebuah masjid, satu blok kondominium, hab monorel, dewan banquet dan ruang komersial yang dijangka siap pada 2029,” katanya.
Pengerusi Lembaga Pengarah Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin berkata, pembinaan zon ekonomi baharu itu diharap akan memberi ‘limpahan rezeki’ kepada rakyat negeri itu khususnya.
Katanya, selain menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan, projek itu juga akan dipastikan memberi keutamaan dan manfaat kepada syarikat-syarikat kontraktor tempatan dalam kontrak pembinaannya.
“Saya juga sudah pesan kepada pemaju iaitu Goodyield Development Sdn Bhd (GDSB) supaya memberi keutamaan kepada kontraktor-kontraktor tempatan.
“Apa guna kita ada pembangunan yang besar kalau syarikat tempatan tidak dapat nikmat darinya. Pihak pemaju juga telah bersetuju memperuntukkan beberapa peratus kerja-kerja pembinaan untuk tujuan itu,” katanya.