Sebuah memorial dalam talian, Memorial Covid-19 Malaysia (http://c19memorial.my) dibangunkan bagi mengenang dan menghormati setiap individu yang terkorban akibat Covid-19 sejak pandemik itu mula menyerang Malaysia, Januari 2020.
Laman web itu menerusi kenyataan memaklumkan semua data diambil dan dikumpul melalui berita yang dilaporkan media tempatan serta status (posting) awam di media sosial.
Selain itu, ia memaklumkan, memorial tersebut memperoleh data daripada perkongsian waris atau keluarga mangsa melalui laman web yang dihebahkan mulai 31 Ogos lalu.
“Selain menyiarkan gambar dan sedikit info mengenai arwah/mendiang, kami membuka ruang kepada semua orang untuk meninggalkan komen dan berkongsi cerita bersama arwah/mendiang di memorial arwah/mendiang.
“Inisiatif memorial ini dibangunkan sekumpulan warganegara Malaysia secara sukarela,” katanya.
Laman web itu seterusnya berkata ia bermula daripada satu ciapan di Twitter Aidila Razak pada 6 Ogos lalu yang menyuarakan idea membangunkan memorial bagi angka kematian Covid-19 yang ketika itu mencecah 10,000 orang.
Aidila turut mempelawa sesiapa yang ingin bersama-samanya merealisasikan idea tersebut dan lebih 12 individu menawarkan diri serta perbincangan pertama kali diadakan secara dalam talian pada 10 Ogos.
“Meskipun baru berkenalan, perbincangan dan kerjasama pembangunan memorial lancar kerana setiap sukarelawan bersemangat tinggi dan mempunyai sesuatu yang boleh ditawarkan – sama ada kemahiran dalam aspek teknikal pembangunan laman web, reka bentuk grafik, pengumpulan data, penulisan, terjemahan dan editorial serta pengurusan media sosial.
“Kami turut mendapat khidmat nasihat daripada Bolehspace, satu kumpulan aktif memperjuangkan isu kebolehcapaian yang saksama kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
“Kami berusaha sedaya upaya supaya laman web ini dapat diakses semua golongan. Hasilnya, memorial ini menawarkan pilihan paparan mesra disleksia, teks alternatif serta penetapan paparan sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan,” katanya lagi.
Selain itu, laman web ini juga menyediakan rujukan bantuan bagi kesihatan mental serta pautan kepada agensi yang menawarkan bantuan menghadapi pandemik ini.
“Kami di c19memorial.my juga menetapkan tanggal 19 pada setiap bulan sebagai hari peringatan kepada mangsa Covid-19. Untuk itu, kami akan berkongsi beberapa memorial sedia ada dalam entri istimewa pada hari itu.
“Kami mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk turut berkongsi cerita bersama orang tersayang pada tanggal ini melalui media sosial masing- masing dengan menggunakan #c19memorialmy dan mention/tag covid19memorialmy. Diharapkan memorial ini dapat dijadikan satu simbol ingatan berkekalan kepada setiap individu yang meninggalkan kita akibat pandemik ini.
“Jumlah 21,000 kematian itu bukan sekadar angka yang diumumkan hari ke hari, tetapi setiap satu daripadanya ialah individu disayangi dan pemergiannya akan dikenang selamanya,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat mencipta memorial untuk orang tersayang, atau ingin membaca kisah mereka yang telah pergi, boleh melayari laman web http://c19memorial.my.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”