Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat mungkin sudah tiba masanya silibus pendidikan yang digunakan di negara ini dirombak.
Menurut Baginda, ia kerana buat masa kini pendidikan berterapkan teknologi sangat penting seiring dengan peredaran semasa.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk merombak silibus pendidikan kita.
“Pandemik Covid-19 telah menunjukkan bahawa menjadi celik teknologi dan keperluan untuk pendidikan berteraskan teknologi sangat penting,” titah Baginda dalam hantaran Facebook, hari ini.
Tunku Ismail turut titah agar belia perlu memiliki kemahiran yang mencerminkan keperluan dunia dinamik yang sentiasa berubah.
Justeru, katanya, jurang antara kualiti graduan dengan tuntutan pasaran kerja mesti dirapatkan.
“Untuk manfaat jangka panjang negeri Johor, kita perlu meneroka idea untuk memastikan belia kita serba lengkap dan terdidik untuk menyahut cabaran masa depan.
“Selain pengetahuan, kita juga memerlukan inisiatif dalam pembangunan sahsiah dan mendidik belia kita menjadi individu yang lebih berdaya saing, berkeyakinan dan berbelas kasihan,” titahnya.