Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam, bersetuju untuk memberikan kemudahan-kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Caretaker, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju memberikan kemudahan tambahan itu bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut Muhyiddin, kemudahan tambahan yang dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya adalah aktiviti makan di kedai atau ‘dine-in’.
“Saya ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik kerana risiko penyebaran Covid-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.
“Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan telah menerima vaksinasi lengkap.
“Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kemudahan lain yang dibenarkan adalah aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.
“Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik. Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.
“Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house juga dibenarkan selaras dengan kebenaran dine-in. Namun operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house tidak dibenarkan.
“Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis, badminton, golf, permotoran dan seumpamanya serta perkelahan dan perkhemahan,” katanya.
Menurutnya, Sidang Khas MKN juga bersetuju membenarkan kemudahan tambahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi Fasa 1 PPN dan seterusnya iaitu operasi pasar malam dan pasar minggu.
“Kesemua kemudahan yang saya umumkan hari ini akan mula berkuatkuasa esok dan perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh MKN dalam waktu yang terdekat,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengingatkan bahawa kelonggaran yang diberikan semalam bukan bermakna kita sudah berada dalam zon selamat dariapda ancaman Covid-19, sebaliknya sebagai langkah memulihkan ekonomi setelah lebih 100 hari pelaksanaan PKP.
Justeru, orang ramai diingatkan agar berhati-hati ketika memanfaatkan kemudahan-kemudahan tersebut.
Tinjauan di laman-laman media sosial mendapati kebanyakan rakyat negara ini menyambut baik kemudahan-kemudahan tersebut namun, terdapat juga segelintir pengguna laman sosial yang menyuarakan kebimbangan akan berlakunya peningkatan kes positif Covid-19 berbanding catatan kes semasa.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”