Sukan Olimpik 2020 Tokyo melabuhkan tirainya semalam, meninggalkan sejarah suka duka kepada para atlet.
Pastinya tanggal 8 Ogos menjadi saksi kejayaan penganjuran temasya sukan terbesar di dunia di sebalik cabaran pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
11,656 atlet mempamerkan aksi cemerlang walaupun terikat protokol kesihatan ketat manakala daripada 206 negara menyertainya, hanya 86 negara sahaja mengunggulinya dengan memiliki pingat.
Malaysia satu daripada negara terbabit yang mengakhiri cabaran dengan satu pingat perak dan satu gangsa daripada 340 pingat emas, 338 perak dan 402 gangsa dipertandingkan dalam 1,080 keseluruhannya.
Pelumba berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat perak dan pasangan beregu negara Aaron Chia – Soh Wooi Yik pingat gangsa.
Walaupun acara penutup tidak sehangat seperti 28 edisi sebelum ini, ia tetap meriah dengan persembahan penuh artistik dan berwarna-warni sebelum obor yang gah bernyala sejak 23 Ogos lalu dipadamkan.
Ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach mengisytiharkan temasya Tokyo 2020 tamat sambil menyifatkan pertandingan yang diselubungi pandemik itu sebagai satu pengembaraan Olimpik paling mencabar.
“Kini saya akan menandakan penamat pengembaraan Olimpik paling mencabar ke Tokyo. Saya mengisytiharkan temasya ke-32 Olimpik ditutup,” katanya.
Kemudian, bendera Olimpik turut diserahkan kepada Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, untuk temasya 2024.
Kredit foto Majlis Sukan Negara
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”