Wakil tunggal negara bagi acara perseorangan lelaki badminton, Lee Zii Jia memulakan langkah kanan dengan menang mudah menewaskan Artem Pochtarov dari Ukraine 2-0 dalam saingan Kumpulan M Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.
Hanya 25 minit diperlukan atlet yang menjadi taruhan utama negara dalam merangkul emas pertama Olimpik apabila merakamkan kemenangan 21-5, 21-11 dalam perlawanan pembukaan berkenaan.
Berita kemenangan itu turut dikongsi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang berharap pemain negara itu dapat meneruskan perjuangan ke pusingan kalah mati.
“Persembahan meyakinkan dari wakil tunggal acara perseorangan negara dalam Kumpulan M apabila Lee Zii Jia berjaya menewaskan Artem Pochtarov dari Ukraine (kedudukan ke-98 dunia) dalam perlawanan straight set.
“Perlawanan terakhir Kumpulan M akan menemukan beliau dengan Brice Leverdez dari Perancis (kedudukan ke-36 dunia).
“Harapan tentunya untuk Zii Jia memenangi perlawanan ini dan secara automatik layak ke pusingan kalah mati (round of 16),” katanya.
Beliau yakin Zii Jia mampu melakukannya dan mengingatkannya agar kekal tenang serta fokus.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”