Pasukan golf lelaki negara menempa detik bersejarah dengan memenangi pingat emas di temasya Sukan SEA Hanoi, di Vietnam hari ini dalam acara lelaki berpasukan.
Detik bersejarah itu dilakar selepas kali terakhir Malaysia memenanginya pada 2001.
Penantian 21 tahun negara itu berakhir apabila pasukan negara berjaya mengalahkan Thailand 2-1 pada aksi final di padang golf Heron Lake Golf Course dan Resort, Vinh Phuc, Hanoi.
Rhaasrikanesh muncul wira apabila cemerlang memasukkan bola dari luar green di lubang ke-17 untuk memastikan kemenangan dua lubang berbanding Pongsapak Laopakdee.
Terdahulu, Ervin Chang meletakkan Malaysia di hadapan dengan dua dan satu ke atas Weerawish Narkprachar sebelum Thailand menyamakan kedudukan menerusi Ratchanon Chantananuwat yang mengetepikan Marcus Lim dengan satu lubang.
Sementara itu, pasukan golf wanita negara yang diwakili Jeneath Wong dan Mirabel Ting, pula membawa pulang pingat perak untuk negara.
Gandingan dua pemain golf wanita negara itu tewas kepada Thailand 1.5-0.5.
Pencapaian memenangi dua emas dan masing-masing satu perak serta gangsa adalah pencapaian terbaik pasukan golf negara pada temasya sukan dwitahunan itu.