Semua cawangan Pos Malaysia dan Pusat Pos Laju di seluruh negara tidak beroperasi selama empat hari mulai 1 Mei ini sempena cuti umum panjang minggu depan.
Pos Malaysia dalam kenyataan di laman Facebook, berkata ia sebagai penghargaan dan tanda kasih kepada barisan hadapan Wira Pos yang telah gigih berkhidmat.
“Abang Posmen kami pun akan berehat seketika sempena dengan Hari Raya Puasa. Justeru marilah kita bersama keluarga tersayang tahun ini,” kata hantaran itu hari ini.
Dalam masa sama, Pos Malaysia menjelaskan semua penghantaran mel dan bungkusan secara pos atau kurier pula turut ‘berehat’ namun hanya tiga hari yang bermula pada 2 Mei ini.
Sehubungan itu, kesemua perkhidmatan agensi berkenaan termasuk premisnya akan dibuka untuk beroperasi seperti biasa semula kepada orang awam mulai 5 Mei ini.