Platform e-sukan terkemuka tanah air, Whales Esports Sdn Bhd hari ini mengumumkan penganjuran Kejuaraan Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MLBB Malaysia Championship / MMC Musim 1) buat julung kalinya.
Kejuaraan itu menandakan satu inisiatif penting dalam misi Whales Esports untuk memeriahkan industri permainan dalam talian dengan mencapai lebih ramai pemain amatur dan peminat e-sukan.
Ketua Pengarah Eksekutif Whales Esports, Morgan LB berkata kejuaraan peringkat negeri itu diharap dapat meningkatkan jumlah pemain amatur, seterusnya melahirkan bakat bertahap profesional antarabangsa.
Katanya, ia juga selaras dengan slogan kejuaraan ini, “Road to Pro”.
“Kami dengan sukacitanya mengumumkan musim pertama Kejuaraan Mobile Legends: Bang Bang Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem e-sukan Mobile Legends.
“Menerusi kejuaraan ini, Whales Esports komited untuk menerajui komuniti e-sukan dan membuka peluang kepada pemain amatur untuk merasai debaran serta menimba pengalaman dari kejuaraan e-sukan berskala besar yang unik dan menarik ini.
“Penganjuran ini juga dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri e-sukan seperti penerbit, kru produksi, penyiar, penganalisa dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan.
Untuk MMC Musim 1, 14 kumpulan terbaik dari setiap negeri akan mara ke fasa seterusnya.
Daripada 14 kumpulan, lapan kumpulan akan beradu kekuatan untuk dalam acara playoff untuk menentukan juara MMC Musim 1.
Pendaftaran untuk MMC Season 1 telah dibuka dan bakal ditutup pada 25 Julai 2021.