Kesengsaraan remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella yang didera, turut mendapat perhatian penggiat seni.
Pelakon Betty Banafe menerusi di laman Instagram berkongsi tentang usaha penggiat seni tempatan menyuarakan isu keadilan buat Bella, yang didera di pusat penjagaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Rumah Bonda.
Betty bersama-sama penggiat seni tanah air menyerahkan memorandum kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam bagi menggesa agar perbicaraan kes penderaan Bella disegerakan.
Menurut Betty, memorandum itu mengandungi beberapa perkara gesaan penting yang perlu diberi perhatian bagi menuntut keadilan buat anak istimewa itu.
Betty turut berkongsi antara butiran penting yang terkandung dalam memorandum itu di laman Instagramnya.
“Kami mewakili artis-artis tanah air yang prihatin terhadap kes adik Bella menggesa agar pihak berkuasa mengambil perhatian terhadap gesaan berikut:
- Kita menggesa pihak Mahkamah segerakan perbicaraan kerana kes ini public interest. Dan gap perbicaraan terlalu lama.
- Kita gesa pihak polis mengemukakan hasil siasatan ke atas laporan-laporan polis yang telah dibuat oleh tidak kurang 5-8 orang bekas penghuni Rumah Bonda
- Kita gesa pihak polis untuk menyiasat semula laporan-laporan polis yang telah dibuat oleh bekas-bekas penghuni tersebut bagi memberi keadilan kepada mereka yang amat terkesan mental dan fizikal.
- Kita menggesa agar SOP penyerahan remaja hamil dan bayi-bayi kepada Pengasas Rumah Bonda disiasat kerana kita berasa hairan bagaimana JKM begitu mudah menutup mata.
- Kita tekankan ketelusan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.
Dalam pada itu, Betty menzahirkan penghargaan kepada penggiat seni tempatan yang turun padang semalam, untuk turut serta menyerahkan memorandum tersebut.
“Kami hargai masa rakan-rakan artis yang bersusah payah berada di perkarangan Mahkamah Jalan Duta seawal 7 pagi, menunggu masa untuk menyerahkan memorandum dengan menahan lapar dan dahaga hingga penyerahan selesai serta mahkamah mula bersidang lagi.
“Bagi yang tak sampai, terlajak tidur mahupun stuck di trafik.. Bet sangat menghargai usaha murni anda.. Yang penting semangat tu.. Insyaallah kita bersama lagi,” katanya.