Pengusaha kedai gunting rambut dan salun kecantikan menyambut baik keputusan kerajaan semalam, yang membenarkan sebahagian aktiviti ekonomi kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat hari ini.
Presiden Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan (PJRISWP), Ganathiban Murugan berkata, berita baik itu sudah lama ditunggu-tunggu sejak kedai gunting rambut tidak dapat dibuka pada 1 Jun lalu.
Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu jika terdapat pembaharuan dari segi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam Fasa 1 PPN yang diumumkan semalam.
“Secara amnya akan ada pembaharuan atau penambahbaikan dari segi SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Oleh itu, kami sebagai pengusaha kedai akan bergerak atas panduan SOP dari MKN.
“Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang membenarkan beberapa lagi aktiviti ekonomi beroperasi bermula esok,” katanya memetik laporan sebuah akhbar dalam talian.
Ganathiban berharap dengan kebenaran yang diberi kerajaan dapat digunakan sepenuhnya oleh pemain industri untuk kembali merancakkan ekonomi negara.
Bagaimanapun, katanya, diharapkan semua pengusaha perniagaan khususnya kedai gunting rambut tidak alpa menjaga SOP dan panduan keselamatan ditetapkan bagi mengelak jangkitan Covid-19.
“Sekarang pun saya sedang sanitasi ruang kedai untuk dibuka esok. Dari segi persediaan dan peralatan kami memang sudah siapkan alat pemeriksaan suhu badan, QR kod MySejahtera, dan buku catatan maklumat pelanggan.
“Cuma kami menunggu jika ada pembaharuan SOP. Mungkin pemeriksaan sijil digital vaksinasi atau sebagainya nanti pihak kami akan diberi pemberitahuan semula,” ujarnya.
Semalam, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa 1 PPN berkuat kuasa hari ini.
Kemudahan sektor ekonomi itu adalah tambahan kepada kemudahan sektor sosial yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada individu yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”