Selepas menutup pintu masuk akibat Covid-19 dan menjadi antara negara paling terjejas oleh wabak tersebut setahun lebih yang lepas, kini Perancis kembali menerima pelancong dari luar.
Negara itu mula membuka pintu masuk ke negaranya sejak awal Jun lalu termasuk menarik balik syarat perlu melakukan ujian Covid-19 bagi penduduk Eropah yang sudah divaksin sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, pengunjung bukan dari benua Eropah masih perlu menyertakan sijil kesihatan digital bagi membuktikan sudah divaksin serta melakukan ujian Covid-19.
Pelancong dari negara Eropah yang telah lengkap dengan dua dos vaksin tidak perlu menjalani kuarantin atau ujian Covid-19 untuk masuk ke negara itu.
Namun, sekiranya belum divaksin, mereka perlu melakukan ujian PCR atau antigen yang diambil dalam tempoh 72 jam sebelum penerbangan dan tidak perlu menjalani kuarantin.
Perancis hanya membenarkan pelancong masuk ke negara itu sekiranya mengambil vaksin yang diperakui oleh European Medicines Agency (EMA) iaitu Pfizer, Moderna, AstraZeneca dan Johnson & Johnson.
Sementara itu, pelancong dari negara kod merah masih dilarang masuk meskipun telah divaksin kecuali mempunyai alasan tertentu dengan melakukan ujian saringan Covid-19 serta menjalani kuarantin selama 7 hari.