Tengku Chanela Jamidah Tengku Abdullah mengakui beliau mengambil cannabidiol (CBD) dalam tumbuhan untuk tujuan perubatan terhadap dirinya.
Puteri kepada Tengku Arif Bendahara Pahang, Allahyarham Tengku Abdullah Sultan Abu Bakar itu mengaku mengambil CBD bagi rawatan masalah kerisauan, insomnia dan sakit kronik.
“Ia sangat mengejutkan. Kepelbagaian penggunaan tumbuhan ini, ditambah pula dengan perubahannya dalam meningkatkan kualiti hidup saya, mendorong saya untuk berkongsi mengenainya dengan orang lain,” katanya di Instagram.
Tengku Jamidah juga berkongsi pandangannya mengenai penggunaan ganja dalam perubatan bagi merawat penyakit kronik.
Menurutnya, setelah dia dapat memahami faedah ganja perubatan dan serat hem untuk perindustrian, dia percaya bahawa ini merupakan satu keperluan.
“Berjuta orang memerlukan perubatan ganja. Kanak-kanak epilepsi kita, ibu bapa kita yang menghidap barah, datuk dan nenek alzheimer kita.
“Dan manfaat ekonomi untuk semua. Tidak mengira fahaman politik anda, semua orang dapat manfaat. Ketepikan sebentar dan sediakan keperluan kesihatan untuk orang kita. Ini adalah hak asas manusia!” katanya.
Justeru, Tengku Chanela yang berpangkalan di Amerika Syarikat bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori sebagai sebahagian daripada sabitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya
“Membunuh seseorang kerana tumbuhan manakala yang lain menjana pendapatan berbilion dolar itu bertentangan dengan hak asasi manusia kita.
“Kita mesti berubah daripada cara lama kita dan mengenal kesan larangan dan bagaimana undang-undang menyiksakan ini terhasil. Penjara sudah sesak, dengan 60 peratus banduan di penjara kerana sabitan kes dadah tanpa kekerasan.
“Negara membelanjakan lebih RM500 juta setahun untuk mengekalkan banduan tersebut. Pembiayaan itu boleh diperuntukkan dengan lebih baik ke arah pembangunan negara kita dan tujuan yang lebih wajar. Kita mesti memansuhkan hukuman mati dengan serta-merta,” katanya dipetik Malaysiakini, baru-baru ini.
Tengku Chanela Jamidah dikenali sebagai juru kempen ganja perubatan dan baru sahaja melancarkan inisiatif Halal Hemp.
Menurutnya, ia merupakan satu usaha untuk mengubah fikiran dan undang-undang mengenai isu penggunaan kanabis dan hem, terutama kandungan bahan aktif cannabidiol (CBD) dalam tumbuhan itu untuk tujuan perubatan.
Jelasnya, Halal Hemp merupakan organisasi pensijilan pertama dan satu-satunya di dunia yang mencipta proses pengauditan untuk mengesahkan bahan aktif tumbuhan ganja, CBD sebagai halal.