Pharmaniaga Bhd bakal membekalkan vaksin Covid-19 Sinovac kepada kerajaan negeri dan pihak swasta menjelang akhir bulan ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, walau bagaimanapun ia bergantung kepada obligasi kerajaan yang perlu dipatuhi syarikat itu.
“Apabila kami sudah menyelesaikan obligasi (membekalkan vaksin) kepada kerajaan terlebih dulu, barulah boleh bekalkan kepada swasta pula.
“Kami jangkakan untuk mula membekalkan bekalan vaksin kepada kerajaan negeri dan pihak swasta sama ada pada minggu ketiga atau keempat Jun ini,” katanya.
Syarikat tersebut juga mencadangkan kepada kerajaan untuk membekalkan kedua-dua vaksin secara ‘fill and finish’ dan produk siap.
Katanya, ini bagi membantu mempercepatkan proses melengkapkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Kami juga berhasrat untuk mengimport 10 juta dos tambahan vaksin Sinovac daripada China.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dijangka meluluskan penggunaan vaksin COVID-10 Sinovac tidak lama lagi dan kami menjangkakan sebaik ia berlaku, permintaan global terhadap vaksin ini akan melonjak.
“Ia akan menyebabkan kami mungkin tidak boleh mendapatkan bekalannya semudah seperti sekarang. Oleh itu, kami merancang untuk menempahnya sekarang,” katanya.
Pharmaniaga merekodkan keuntungan bersih RM23 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021, meningkat berbanding RM22 juta pada suku sama tahun lalu.