Pil percubaan untuk merawat Covid yang dibangunkan oleh syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Pfizer mampu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital serta kematian sebanyak 89% terhadap orang dewasa.
Ubat yang dikenali sebagai Paxlovid itu bagaimanapun disasarkan untuk diberi kepada orang tua dan individu yang terdedah dengan penyakit berisiko tinggi.
Laporan berkenaan keberkesanan ubat tersebut dikeluarkan sejurus agensi penyeliaan perubatan UK memberi kelulusan terhadap kaedah rawatan serupa daripada Merck Sharp and Dohme (MSD).
Menurut Pfizer, pihaknya akan menghentikan percubaan terhadap ubat berkenaan selepas mendapati keputusan awal mengenai kesan ubat tersebut sangat positif.
Pil Pfizer direka untuk menyekat enzim yang diperlukan oleh virus untuk membuat pembiakan. Cara ia berfungsi sedikit berbeza dengan pil keluaran Merck yang merosakkan kod genetik virus.
Tambah Pfizer, pihaknya merancang akan menyerahkan keputusan percubaan ubat tersebut kepada pihak kawal selia perubatan AS.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”