Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Tenun Pahang Diraja, sempena London Craft Week (LCW), di Belgrave Square, London semalam.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, pameran julung kalinya itu diterajui Baginda sendiri dan dianjurkan Yayasan Tenun Pahang Diraja dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara, Muzium Pahang dan Kraftangan Malaysia.
Pameran itu berlangsung dari 9 hingga 15 Mei 2022 di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London dengan lebih 300 koleksi Tenun Pahang Diraja hasil kerja tangan banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang dipamerkan.
Ia termasuk pilihan pakaian Seri Paduka Baginda sendiri, serta koleksi rekaan dan tenun peribadi.
“Bertemakan ‘Menyulam Harapan’ (Weaving Hope), pameran turut menampilkan fabrik arkib dari Muzium Pahang dan koleksi baju kurung dan samping Riau-Pahang serta penenun yang merupakan bekas banduan penjara.
“Seri Paduka Baginda yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja menzahirkan harapan agar ianya bukan sahaja menghidupkan Tenun Pahang, malah mempertahankan kelangsungan seni tenun, di samping memberi sinar baharu kepada banduan menerusi program tenunan penjara,” katanya.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Jabatan Penjara, Institut Kraf Negara dan jabatan berkaitan, kerana ‘memberi harapan dan peluang kedua’ bukan sahaja untuk industri tenunan tertua untuk terus hidup, malah juga untuk membina kehidupan baharu bagi banduan.
Hadir sama di majlis pelancaran itu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar; Komisioner Jeneral Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhammad; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.