Setelah berbulan-bulan rakyat di negara ini dilarang untuk merentas sempadan negeri bagi mengekang penularan wabak Covid-19, akhirnya dapat menghela nafas lega apabila kerajaan mengumumkan untuk membuka sempadan negeri yang dijangka dilaksanakan pada bulan hadapan.
Semalam, Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam satu pengumuman berkata, kerajaan menjangkakan aktiviti rentas negeri dijangka boleh dinikmati rakyat Malaysia selewat-lewatnya pertengahan bulan Oktober.
Perkara itu diumumkan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat MPN semalam.
Muhyiddin berkata, sekiranya aktiviti rentas negeri dibenarkan kelak, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Jadi saudara bolehlah merayau atau pergi mana-mana seluruh Malaysia ini, tetapi sentiasa ingat SOP,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, MPN juga mencadangkan kepada kerajaan supaya memperhalusi segera isu pembukaan sempadan negara.
“Pembukaan sempadan negara penting bagi mempercepatkan proses pemulihan negara,”katanya.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”