Pelakon dan penerbit popular, Datuk Rosyam Nor teruja dapat berjumpa semula dengan rakan artis dalam filem ‘Gila-Gila Remaja’, selepas 37 tahun.
Menerusi perkongsian video di Facebook miliknya, Rosyam memaparkan pelakon filem terbabit yang hadir ke reunion berkenaan termasuklah Faizal Hussein yang dikenali sebagai Azroy atau Roy dlaam filem terbabit, Faisal Ahmad (Chal), Hamid Ali (Ravi) dan beberapa lagi pelakon turut hadir dan kelihatan gembira menghadiri majlis reunion itu.
“Reunion ‘Gila-Gila Remaja’ selepas 37 tahun. Gembira dapat jumpa semua @faizalhusseinofficial @faisalchalahmad67 @karchermalaysia @nikmarinikamil.
“Hari ini (semalam) saya sangat teruja, kita dapat reunion gila-gila remaja selepas 37 tahun.
“Alhamdulillah, dapat berjumpa setelah 37 tahun dan saya berharap pertemuan ini akan berlangsung dari semasa ke semasa. Ini merupakan pertama kali reunion satu filem,” katanya menerusi Facebook.
Gila-Gila Remaja merupakan sebuah filem remaja Malaysia yang ditayangkan pada 1986 dan pernah menjadi fenomena sehingga tahun 90an.
Filem itu telah diarahkan oleh Allahyarham Hussein Abu Hassan dan diterbitkan oleh Shah Film Productions.
Ia mengenai kisah seorang remaja nakal, Azroy telah jatuh cinta pada seorang pelajar baru bernama Suziana atau lebih mesra dengan panggilan Suzi dalam kalangan teman dan keluarga.
Tetapi, pada masa yang sama Suzi dan seorang lagi lelaki yang bernama Farouk sedang berkenalan dan tambahan pula kedua-dua ibu bapa mereka adalah kawan rapat dan turut bercadang untuk nikahkan mereka berdua.
Namun begitu, Suzi, juga mula berkenalan dan terus jatuh cinta dengan Roy pada masa yang sama itu di kolej, tetapi Suzi tidak memberitahu Roy mengenai hubungan dia dengan Farouk.
Ia menyebabkan kemarahan kepada Farouk bila dia dapat tahu melalui rakannya bahawa Roy dan Suzi sedang bercinta.
Pada suatu hari, disebabkan masalah ini, Roy bersama dengan rakan-rakannya dan kumpulan Farouk iaitu Kumpulan Gagak Hitam terlibat dalam satu pergaduhan besar.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”