Bintang Liverpool, Sadio Mane semalam merasmikan hospital yang dibina hasil wang sumbangannya di kampung halamannya di Bambali, Senegal.
Media tempatan melaporkan, hospital yang menelan kos £500,000 (RM2.88 juta) itu mampu memberi manfaat kepada penduduk dari 34 kampung di wilayah Sedhiou.
Ia dilengkapi wad bersalin, bilik pemeriksaan kesihatan, dewan pembedahan, bilik mayat dan pelbagai kemudahan perubatan lain.
Mane tidak pernah mencari status selebriti, sebaliknya hanya mahu menggunakan kekayaan dimiliki sebagai bintang bola sepak untuk membantu menaiktaraf kehidupan masyarakat tempatan.
Pada 2019, pemain berusia 29 tahun itu menyumbang £250,000 (RM1.45 juta) untuk membina sekolah menengah di Bambali, malah dia memiliki sebuah pasar raya di sana.
“Hospital ini dibina sebagai tanda terima kasih untuk anda semua dan penduduk Sedhiou,” kata Mane yang bangga kerana mampu memberi sumbangan kepada pembangunan wilayah kelahirannya.
Mane, anak bekas imam dari kampung Bambali berazam untuk terus membantu pembangunan ekonomi dan sosial di wilayah itu.
Kata Mane, projek masa depannya selepas ini adalah membina sebuah pejabat pos dan stesen minyak.