Setelah hampir setahun ditutup, Muzium Negara akhirnya kembali dibuka untuk kehadiran pengunjung bermula Sabtu lalu.
Walau bagaimanapun, pembukaan tersebut diikuti dengan pematuhan prosedur opesari standard (SOP) bagi mengelak sebarang risiko penyebaran wabak Covid-19.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat berkata, kesemua muzium tersebut mula dibuka pada jam 9 pagi hingga 4 petang kecuali Isnin pertama pada setiap bulan.
Memetik laporan Utusan, kemasukan itu juga adalah percuma sehingga 8 Oktober bulan ini, katanya.
“Bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kita hanya benarkan 60 orang pelawat dalam satu-satu masa sahaja.
“Untuk esok tempahan telah diterima yang mana bagi sesi dari jam 9 hingga tengah hari telah penuh. Kita telah menerima tempahan melalui sistem e-tempahan,” katanya selepas mengadakan sesi walkabout sempena pembukaan semula Muzium Negara, minggu lalu.
Dengan pembukaan tersebut juga, sebanyak 50 program menarik turut disediakan sehingga hujung tahun ini termasuk secara maya atau fizikal antaranya Pameran Wajah-Wajah Malaysia, Pameran Nostalgia Anak Kampung dan Pameran Dunia Aminasi Kanak-Kanak.
“Ikuti Telegram kami untuk mendapatkan berita terkini”