Anak ketiga pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang daripada China yang dilahirkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (PKGP), Zoo Negara diberikan nama Sheng Yi.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata nama panda betina yang dilahirkan pada 31 Mei tahun lalu itu bermaksud keamanan dan persahabatan.
“Anak panda yang akan berusia setahun pada hujung minggu ini kini mencapai berat melebihi 27 kilogram,” katanya hari ini.
Takiyuddin berkata, kerajaan Malaysia berharap Sheng Yi akan dapat mengerat dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin dengan China.
Pasangan panda gergasi yang menjadi simbol hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia dan China itu tiba di negara ini pada 21 Mei 2014 dan berada di sini bagi tempoh 10 tahun menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.
Sheng Yi merupakan kelahiran ketiga bagi pasangan panda itu selepas kelahiran Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015 dan dihantar pulang pada 14 November 2017 serta Yi Yi pada 14 Januari 2018.