Atlet muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib melakukan kejutan apabila menghadiahkan emas ke-39 Sukan SEA Hanoi buat kontinjen negara pada aksi final di Gimnasium Bacninh, Hanoi semalam.
Juara remaja dunia 2021 berusia 18 tahun itu menampilkan perlawanan cukup bertenaga untuk mengatasi wakil tuan rumah, Huynh Hoang Phi dalam kategori lelaki elit bawah 54 kilogram.
Walaupun melakukan penampilan pertama dalam temasya sukan dwi tahunan itu, Nor iman yang mempunyai kelebihan ketinggian berbanding lawan meraih kemenangan 30-27 (10-9,10-9,10-9) dalam pertarungan tiga pusingan.
Secara keseluruhan Malaysia kini mengumpul 174 pingat membabitkan 39 pingat emas, 45 pingat perak dan 90 pingat gangsa.
Temasya Sukan SEA ke-31 Hanoi akan melabuhkan tirainya hari ini dengan kontinjen Malaysia berada di kedudukan keenam carta pungutan pingat.
Tuan rumah Vietnam unggul dengan 205 pingat emas dan keseluruhan 446 pingat, diikuti Thailand di tempat kedua dengan 92 pingat emas dan keseluruhan 331 pingat, manakala Indonesia ketiga dengan 69 pingat emas dan keseluruhan 241 pingat.