Kedatangan bulan Ramadan bukan hanya dihayati oleh umat Islam tetapi keindahan bulan itu juga turut diserikan lagi dengan sikap saling hormat menghormati oleh penganut agama lain di negara ini.
Meskipun berlainan anutan agama, kemurahan hati pada warga bukan Islam di negara ini dapat dilihat saban hari, terutama ketika Ramadhan yang mulia ini.
Seorang lelaki yang dikenali sebagai Vicky, tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama membuat kebaikan pada Ramadhan kali ini dengan membuat agihan 300 cucuk sate kepda golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur sebagai juadah berbuka puasa.
Lelaki yang terkenal dengan perkongsian aktiviti memasak dan perkongsian resepi masakan di Facebook itu memuat naik kisahnya memberikan hidangan sate kepada gelandangan menerusi laman Youtube.
“Saya ingin mengagihkan 300 cucuk sate kepada rakan gelandangan kita di sekitar Kuala Lumpur untuk juadah berbuka puasa.
“Saya minta penjual sate menyediakan bekalan untuk diagihkan kepada 30 hingga 40 orang,” katanya.
Menerusi paparan video tersebut, dia mendekati seorang demi seorang gelandangan yang tidur di kawasan terbabit sebelum diserbu sekumpulan mereka yang ingin merasai keenakan sate itu.
Setakat kisah ini ditulis, perkongsiannya di Facebook sudah menerima hampir 40 ribu tanda suka dan dikongsi sebanyak lebih 200 kali, manakala videonya di Youtube pula sudah mendapat hampir 5 ribu tontonan.
Berdasarkan video yang terdapat dalam akaun Youtube beliau, Vicky bukanlah kali pertama mengagihkan bantuan kepada kumpulan gelandangan di sekitar ibu kota, sebaliknya sudah beberapa kali berbuat demikian.