Seorang anita di Pretoria, Afrika Selatan menjuadi pemegang Guinness World Record terbaru melahirkan bayi paling ramai di dunia selepas beliau berjaya melahirkan bayi kembar sepuluh.
Gosiame Thamara Sithole, 37, bersama suaminya Teboho Tsotetsi berkata, mereka tidak menyangka akan menerima kelahiran anak paling ramai kerana imbasan yang dilakukan oleh doktor sebelum ini hanya mendapati lapan orang bayi.
Sithole selamat melahirkan tujuh bayi lelaki dan tiga perempuan menerusi pembedahan caesarean.
“Kami mendapat tujuh anak lelaki dan tiga perempuan. Dia melahirkan anak ketika kandungan berusia tujuh bulan dan tujuh hari. Saya amat gembira dan sebak,” kata Tsotetsi kepada media tempatan.
Terdahulu, rekod tersebut dipegang oleh Malian Cisse, dari Maghribi yang melahirkan kembar sembilan, bulan lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Sekolah Perubatan Universiti Sains Kesihatan Sefako Makgatho, Professor Dini Mawela berkata, kes kelahiran itu amat jarang berlaku dan lazimnya disebabkan oleh rawatan kesuburan.
Katanya, bayi terbabit terpaksa ditempatkan dalam inkubator selama beberapa bulan memandangkan ia adalah kehamilan yang berisiko tinggi.
“Ini adalah situasi yang agak unik. Saya tidak tahu kekerapan kes seperti ini berlaku. Kehamilan ini amat berisiko tinggi dan situasinya agak rumit. Apa yang membahayakan ialah bayi ini tidak mempunyai ruang yang cukup ketika berada di dalam rahim dan ia boleh menyebabkan saiz mereka menjadi lebih kecil.
“Apa yang berlaku ialah mereka mengeluarkan bayi ini secara pramatang kerana terdapat risiko jika dibiarkan dalam kandungan lebih lama. Bayi menjadi lebih kecil dan peluang untuk hidup juga terjejas. Namun ia bergantung kepada tempoh dia membawa kandungan itu,” katanya.