Seorang wanita dari Timbuktu, Mali selamat melahirkan bayi kembar sembilan dan menjadikan kelahiran tersebut antara kelahiran yang jarang berlaku di dunia.
Halima Cisse, 25, melahirkan kandungan pra matang terdiri daripada lima bayi perempuan dan empat bayi lelaki di Maghribi pada Selasa lalu.
Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS), kesemua sembilan orang bayi tersebut yang dilahirkan pada minggu ke-30, kini berada dalam keadaan sihat.
Cisse sebelum ini dijangka menerima kelahiran tujuh bayi susulan imbasan yang dilakukan namun, sejurus kemudian ketika proses kelahiran, dua lagi bayi menyusul menerusi pembedahan.
Sekiranya semua bayi tersebut hidup, Cisse bakal memecah rekod dunia dipegang ‘Octomum’ Nadya Suleman pada 2009 selepas melahirkan bayi kembar lapan yang berjaya hidup.
Sebelum ini, Cisse ditempatkan selama dua minggu di sebuah hospital di ibu kota Mali, Bamako sebelum diterbangkan ke Maghribi pada Mac lalu untuk jagaan pakar.
Salah seorang doktor, Dr Yazid Mourad berkata, mereka berusaha melewatkan kelahiran itu sehingga lima minggu supaya bayi terbabit mempunyai peluang lebih cerah untuk hidup.
Katanya, kelahiran pada minggu ke-30 itu dijangka memberi peluang hidup sekitar 80 peratus kepada bayi berkenaan selain diberi rawatan sepatutnya.
“Saya tidak dapat membayangkan sama ada bayi kembar sembilan ini akan hidup sekiranya dilahirkan pada minggu ke-25 kerana saiznya lebih kecil dan sebab itu kita perlu melewatkannya sedikit,” katanya.
Sementara itu, suami Halima, Adjudant Kader Arby memberitahu, dia tidak begitu bimbang dengan masa depan semua bayinya.
“Tuhan yang kurniakan semua bayi ini kepada kami. Hanya tuhan yang boleh menentukan nasib mereka. Saya tidak risau mengenai perkara itu.
“Semua pihak menghubungi saya. Pihak berkuasa Mali turut menelefon saya meluahkan rasa gembira mereka, malah presiden juga. Saya berterima kasih kepada mereka,” katanya.