Wartawan disifatkan sebagai wira tidak didendang ketika negara dan dunia diserang Covid-19 dengan bertungkus-lumus menyediakan maklumat berkaitan pandemik itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata wartawan sanggup mengharungi bahaya termasuk merisikokan diri kerana terdedah kepada jangkitan wabak pembunuh berkenaan.
Menurutnya, semua itu dilakukan wartawan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat dan mengikuti perkembangan semasa tanah air dan luar negara, walaupun terkurung di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tanpa wartawan, mustahil berita-berita dan dan maklumat penting dapat disebar luas dengan cepat dan pantas termasuk sidang media Covid-19 yang dilaksanakan hampir setiap hari.
“Oleh kerana sumbangan besar para wartawan kepada negara, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para wartawan sebagai sebahagian petugas barisan hadapan sewaktu pandemik ini. Tahniah dan terima kasih!” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Malam Wartawan Malaysia 2021 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI), di Hotel Majestic Kuala Lumpur, malam ini.
Menurutnya, tugas wartawan bukan hanya untuk melaporkan berita panas dan hangat tentang politik atau berita kemalangan, malapetaka, tragedi atau sensasi sukan dan hiburan.
“Saudara dan saudari menjadi mata dan telinga dalam membantu kerajaan memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan untuk rakyat.
“Saudara dan saudari semua boleh membuat teguran bernas dan berasas bagi membantu kerajaan menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat selaras konsep Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya.